Tahun 2000 - Kami belajar di kolej dan kelas yang sama namun tidak sekalipun pernah bertegur sapa. Dia sangat pemalu dan pendiam orangnya. Asalnya, bukan dia yang menarik perhatianku, tapi sahabatnya. Namun kata orang, kalau jodoh tak kemana. Aku kenal dia, dia pula kurang mengenaliku. Pertemuan di MIRC mendekatkan kami. Bermula sebagai sahabat chatting, menarik minatnya mengenaliku lebih dekat. Dari chatting ke perbualan telefon. Saban hari, kami pasti menghubungi satu sama lain. Walau tinggal berdekatan, kami tak pernah keluar bersama. Lebih selesa berbual di telefon. Kian hari, hubungan kami semakin erat. Dari kenalan internet, menjadi kawan. Akhirnya kami menjadi sahabat yang sangat akrab. Kerap rakan-rakan mengatakan kami adalah pasangan namun hakikatnya kami tak pernah mengikhtiraf perhubungan kami ini ke tahap itu. Aku tetap berpegang, selagi dia tak meluahkan perasaannya, hubungan ini cuma setakat sahabat karib sahaja. Ditakdirkan aku terpaksa berpindah ke kolej utama di KL dan dia masih meneruskan pengajiannya di Kuantan. Hari-hari terakhir sebelum aku berpindah, kami banyak menghabiskan masa keluar dan berbual bersama. Setelah berjauhan, masing-masing memendam rasa. Rindu, sayang dan sesal bercampur-baur. Tanpa di duga, dia mengambil keputusan turut berpindah ke KL. Dan akhirnya dia mengaku, selama dia bersendirian di Kuantan, dia banyak berfikir dan akhirnya pasti, dia amat memerlukan aku dalam hidupnya. Setahun selepas itu pada 28/10/2006, kami mengikat tali pertunangan. Dan akhirnya kami dinikahkan pada 15/11/2007. Ramai juga yang tak percaya kami akhirnya bersama sebab dia agak ramai peminat sebelumnya. Dan Alhamdulilah, kini kami bahagia dengan kehadiran 2 putera comel yang menghiasi kehidupan kami.
Asrie & Nana
li